‘Hanya mampu merengek’


Baling: Seorang kanak-kanak, Qysstina Syafieka Erman Shah, 7, hanya mampu terlantar dan merengek akibat menderita menghidap penyakit leukemia sejak tiga tahun lalu.

Malah, anak sulung daripada tiga beradik yang menetap dengan keluarganya di Taman Permai, Kuala Ketil, di sini, juga tidak mahu badannya disentuh dengan kasar kerana terlalu sakit.
Ibunya, Norhashimah Abu Hassan, 28, berkata anak perempuan kesayangannya itu juga tidak mahu didukung kerana dia akan menangis kesakitan.
“Dia (Qysstina) sering menangis dan merintih kerana sakit terutamanya di bahagian mata dan telinga sehingga kami takut setiap kali mahu menyentuhnya walaupun untuk membersihkan dirinya.
Bagaimanapun, Norhashimah berkata, dia bersyukur kerana anaknya masih mempunyai selera untuk makan dan minum seperti biasa dalam keadaan berbaring walaupun sedikit.
“Qysstina hanya mahu makan putu mayam saja tetapi sejak kebelakangan ini dia hendak makan buah manggis dan dokong,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menceritakan semula detik awal mengesan penyakit berkenaan, katanya, Qysstina mengalami demam panas dan kelihatan lebam-lebam di kaki sebelum dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani ketika kanak-kanak itu berusia empat tahun.
Katanya, anaknya kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan doktor mengambil sampel daripada tulang sum sum sebelum mengesahkan Qysstina menghidap penyakit leukemia.
Bagi mereka yang bersimpati dengan nasib Qysstina dan ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi bapanya, Erman Shah Yahaya di 019-5270260.

0 Response to "‘Hanya mampu merengek’"

Post a Comment