(7GAMBAR) Pilot AirAsia Wanita yang Cantik



Noor Hafizah Mohd. Idrus, berminat untuk menjadi juruterbang sedari kecil.

Bezanya, impian itu pada awalnya mendapat tentangan daripada kedua ibu bapanya.
Sebaliknya mereka mahu melihat Noor Hafiza berjaya dalam bidang perubatan dan bergelar seorang doktor.
Untuk tidak menghampakan impian orang tua, dia meneruskan pengajian di dalam bidang sains, peringkat matrikulasi di Londang, Melaka walaupun terpaksa melupakan impian untuk terbang tinggi di awan biru.
Disebabkan markah yang tidak begitu melayakkannya untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan, akhirnya anak kedua daripada enam beradik itu meneruskan pengajian dalam bidang multimedia peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Begitupun setelah mengharunginya selama satu setengah tahun, pengajiannya ‘terbengkalai’ begitu sahaja tanpa sempat ditamatkan.
Semuanya gara-gara iklan AirAsia yang disiarkan untuk pengambilan kadet juruterbang syarikat tersebut.
Lantas, tanpa berfikir panjang, Noor Hafizah atau lebih mesra disapa Fizah telah memohon tanpa pengetahuan keluarga.
Hari ini, setelah lapan tahun bernaung di bawah sayap AirAsia, anak kelahiran Taiping, Perak itu akhirnya berjaya meyakinkan kedua ibu bapanya bahawa kerjaya sebagai juruterbang mampu dipikulnya.
“Pada peringkat awal, emak dan ayah susah juga hendak menerima kenyataan saya menyertai AirAsia sebagai juruterbang. Tambahan pula terpaksa meninggalkan pengajian di UKM.
“Tetapi setelah diterima dan lulus temuduga dan saya berjanji akan melakukan yang terbaik, akhirnya mereka menerima dan kini menyokong kuat saya.
“Yang pasti, hari ini saya mampu berbangga dengan diri sendiri kerana cita-cita yang diimpikan sejak kecil menjadi kenyataan,” katanya sambil tersenyum.
Apa yang lebih membanggakan, beliau merupakan kelompok pertama wanita yang menyertai akademi AirAsia sebagai juruterbang.
Jika bersemuka dengan Noor Hafizah pastinya tidak percayai dia merupakan individu yang mengemudi pesawat Airbus A330 dengan 375 penumpang kerana susuk badannya yang kecil.
Pada masa sama, pengorbanan Noor Hafizah melepaskan pengajian di UKM berbaloi kerana kini beliau berjaya menjadi kapten.
Siapa sangka, penglibatan awalnya dalam bidang penerbangan mendapat tentangan hebat daripada kedua ibu bapanya, hari ini sudah mampu tersenyum bangga dengan kejayaan yang dikecapi.
Secara tidak langsung, dia juga berjaya membuktikan bahawa wanita juga mampu menggerakkan jentera berat dan besar malah keupayaan mereka tidak harus dipandang sebelah mata.
Sumber: Utusan Malaysia






0 Response to "(7GAMBAR) Pilot AirAsia Wanita yang Cantik"

Post a Comment